Gigi Bertindih
Assalamualaikum tuan doktor. Saya kira soalan saya ini agak remeh tapi amatlah penting bagi diri saya kerana ia boleh menambah keyakinan diri saya. Saya seorang gadis berusia 20 tahun. Sejak kecil saya mempunyai masalah gigi bertindih. Doktor gigi saya telah pun membaik pulih keadaan tersebut cuma yang menjadi kemusykilan ialah gigi saya berwarna kuning dan comot. Saya agak malu untuk memberikan senyuman malah, setiap kali saya ketawa, saya akan menutup mulut saya. Kadangkala gusi saya juga akan bengkak dan sakit. Bagaimanakah cara penjagaan gigi yang sebenarnya dan bolehkah produk Gamat Emas membantu menyelesaikan masalah saya? Terima kasih.
Sunita Akhmar Embong,Kuala Terengganu, Terengganu.
Jawapan
Terima kasih di atas soalan tersebut. Sudah semestinya gigi yang putih bersih akan memberikan senyuman yang menarik. Saudari juga mempunyai masalah gusi yang berkemungkinan berpunca dari karies gigi. Penjagaan gigi dan gusi akan lebih mudah jika saudari memahami langkah-langkah yang perlu dilakukan. Di sini saya kongsikan 7 langkah penjagaan gigi, agar senyuman saudari akan lebih memberikan keyakinan diri.
LANGKAH PERTAMA
Peruntukan sedikit masa untuk memberi gigi saudari penjagaan harian yang sepatutnya.
Tahukah saudari bahawa ia hanya mengambil masa 2 hingga 3 minit untuk memberus gigi dengan sempurna tetapi kebanyakan di kalangan kita hanya mengambil masa kurang dari 45 saat untuk memberus gigi? Jutaan kuman menetap di permukaan gigi akan menghadamkan sisa makanan yang terdapat di dalam rongga mulut dan seterusnya menghasilkan asid. Asid inilah yang akan mula melarutkan kalsium dan menghakis permukaan enamel gigi yang seterusnya akan menjadi lubang di peringkat awal kerosakan gigi. Memberus gigi akan membersihkan gigi dari gejala kuman supaya tiada asid akan dihasilkan. Walaubagaimanapun, adalah penting untuk membersihkan kesemua permukaan gigi yang mana proses ini lazimnya mengambil masa 2 hingga 3 minit. Saudari disarankan memberus gigi seelok-eloknya setiap kali selepas makan dan juga sebelum tidur. Ini kerana gigi yang diberus hanya akan bertahan selama 4 jam sebelum kuman mula memenuhi kembali seluruh permukaan gigi yang jika tidak diberus akan mengakibat pembentukan plak gigi.
LANGKAH KEDUA
Amalkan penggunaan floss gigi. Ia akan menyelamatkan gigi saudari.
Menggunakan floss gigi sekurang-kurangnya sekali sehari amatlah penting untuk menjaga kesihatan gigi. Ini kerana ia dapat membersihkan sisa makanan yang melekat di celah-celah gigi yang mana jika tidak dibersihkan akan terus menerus dihadamkan oleh kuman untuk menghasilkan asid. Apa yang lebih membimbangkan ialah jika kuman tadi dibiarkan di celah gigi, ia turut akan menyerang tisu gusi, tulang dan ligamen yang menyokong gigi. Memberus gigi hanya akan membersih 65% dari permukaan yang sepatutnya dibersihkan. Selebihnya, iaitu 35% perlulah dibersihkan dengan menggunakan floss.
LANGKAH KE TIGA
Bukan sahaja gula-gula manisan yang berbahaya untuk gigi saudari.
Sebenarnya banyak lagi jenis pemakanan selain dari gula-gula yang boleh menyebabkan kerosakan gigi. Kuman akan menghadam gula-gula ini menjadi asid yang akan menghakis gigi. Bukan setakat gula-gula, malah segala pemakanan yang manis dan berkanji seperti buahan, mentega kacang, keropok, kentang goreng, nasi, popcorn, mee dan sebagainya juga boleh menyebabkan perkara yang sama. Yang paling utama ialah makanan manis yang melekat di celah gigi seperti mentega kacang, toffee, kismis dan lain-lain akan membekalkan sumber makanan dan tenaga secara berterusan kepada kuman yang terdapat pada gigi. Oleh itu gosoklah gigi atau sekurang-kurangnya berkumur selepas makan boleh memastikan kerosakan gigi dapat dibendung.
LANGKAH KEEMPAT
Jangan memberus gigi terlalu kuat.
Hampir dua daripada tiga orang memberus gigi terlalu kuat sehingga merosakkan gigi sendiri. Sebenarnya kita hanya perlu tenaga yang sedikit untuk memberus gigi bagi menghilangkan kuman, sisa makanan dan plak gigi. Yang menggusarkan ialah kebanyakan di kalangan mereka yang memberus gigi menggunakan tenaga sehingga 3 – 4 kali ganda dari apa yang perlu. Ini bakal menyebabkan gusi menipis, gigi sensitif serta terbentuknya lubang pada umbi gigi.
LANGKAH KELIMA
Kurangkan makanan snek dan juga minuman manis terutamanya minuman terlalu panas yang diminum secara berterusan.
Menikmati minuman manis secara berterusan akan membekalkan sumber gula bagi kuman, juga secara berterusan. Ini termasuklah bagi mereka yang gemar memakan kudapan. Sementara minuman terlalu panas pula menyebabkan retak kecil pada permukaan gigi. Ini kerana gigi yang terdedah kepada pengaruh perubahan suhu yang ekstrem, bakal menyebabkan berlakunya kembang dan kuncup bagi struktur gigi yang terbabit lantas mengakibatkan terjadinya retak di permukaan gigi. Retak yang terhasil ini pula memudahkan lagi asid dari kuman untuk menghakis gigi.
LANGKAH KEENAM
Jangan lupa berjumpa dengan doktor gigi 6 bulan sekali.
Walaupun mungkin saudari rasa penjagaan gigi saudari sudah memadai namun kadangkala masih terdapat masalah gigi yang tidak dapat dikesan melainkan dengan kaedah pemeriksaan oleh doktor gigi. Ini amatlah penting kerana masalah gigi pada peringkat awal masih boleh di atasi dari menunggu ia menjadi masalah gigi yang serius sehinggakan gigi tidak dapat diselamatkan lagi ataupun memerlukan rawatan gigi yang canggih seperti bridging dan sebagainya yang sudah tentu memakan kos yang tinggi.
LANGKAH KETUJUH
Pilihlah ubat gigi yang sesuai.
Ubat gigi juga memainkan peranan yang penting dalam penjagaan gigi. Ubat gigi yang sesuai sekurang-kurangnya mempunyai sifat antiseptik, antikaries, menghilangkan plak dan mengukuhkan gigi. OROGARD, ubat gigi keluaran GESB amatlah sesuai bagi tujuan tersebut kerana ia mengandungi formulasi bahan-bahan yang telah terbukti boleh memberi penjagaan mulut, gigi, gusi dan tekak yang sempurna. Kandungan Isomalt mencegah karies; ekstrak kayu sugi (meswak) melegakan gigi sensitif, memutihkan gigi dan mencegah karang gigi; Ekstrak Gamat menjaga kesihatan mulut dan gusi; Sodium monofluorofosfat melindungi kesan penghakisan asid oleh kuman yang menyebabkan kerosakan gigi; ditambah dengan antiseptik bagi mencegah jangkitan kuman pada keseluruhan mulut dan tekak.
No comments:
Post a Comment